Aplikasi

ZEP Quiz dan Sisi Liar Seorang Cikgu ;)

Beberapa tahun kebelakangan ini, saya telah mencuba pelbagai platform untuk penilaian formatif seperti Kahoot!, Google Form dan Microsoft Form dan lain-lain lagi. Setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri. Namun, baru-baru ini saya menemui satu aplikasi yang benar-benar memberi nafas baharu kepada sesi penilaian pemahaman pelajar saya iaitu ZEP QUIZ.

ZEP QUIZ menawarkan pengalaman pembelajaran yang berbeza. Ia masih mengekalkan elemen kuiz berasaskan soalan seperti platform lain, tetapi disampaikan dalam suasana maya yang menyeronokkan dan visual yang menarik. Pelajar merasakan seolah-olah mereka sedang bermain permainan sebenar setiap kali menjawab soalan.

Antara screenshot yang sempat diambil dari aktiviti kelas.

Apa yang membuatkan saya lebih teruja ialah kebebasan untuk mengekspresikan “sisi liar” diri saya melalui avatar digital. Kadangkala saya muncul dengan rambut berwarna pink dan ungu, dan ada masanya saya tampil sebagai angkasawan dan Puteri Korea. Begitu juga pelajar saya, mereka sering bertukar avatar mengikut kreativiti masing-masing. Dunia maya ini memberi ruang untuk saya menunjukkan sisi kreatif sambil mengekalkan fokus terhadap objektif pembelajaran.

Pelajar saya juga menunjukkan tahap penglibatan yang lebih tinggi. Selepas sesi perbincangan yang padat dengan soalan berfikir aras tinggi, mereka kelihatan lebih bersemangat apabila beralih ke fasa kuiz dalam ZEP. Ia menjadi ruang untuk mereka melepaskan tekanan sambil menguji kefahaman secara santai.

Bagi saya, inilah bukti kecil bahawa teknologi mampu mengubah suasana dan motivasi pelajar….daripada rasa terpaksa kepada rasa ingin tahu, daripada tekanan kepada keterujaan. Apabila pelajar ketawa melihat avatar saya dengan gaya yang tidak dijangka, saya sedar satu perkara penting, pembelajaran tidak perlu kaku untuk menjadi bermakna.

Sebagai pendidik, saya percaya keseimbangan antara teknologi dan pedagogi adalah kunci. Aplikasi seperti ZEP QUIZ hanyalah alat…yang menjadikannya berkesan ialah cara kita merancang pengalaman belajar di dalamnya. Di hujung hari, bukan sekadar markah atau skor yang kita kejar, tetapi rasa seronok untuk terus belajar dalam dunia sebenar mahupun dunia maya.

Good luck to myself sebab terjebak mengajar subjek berfikir aras tinggi & pelajar susah score. MUAHAHAHHHH!!!! (ketawa jahat dalam redha)

Tinggalkan komen