Post kali ini adalah untuk mengenang kembali kenangan saya sebagai salah seorang tenaga pengajar program Diploma in Computer Networking (DCN) di KPMIM. Program DCN ini telah menggunakan silibus dari CISCO Network Academy. Setelah pelajar berjaya menamatkan pengajian program DCN, mereka juga akan dianugerahkan sijil penyertaan dari CISCO Network Academy dengan mengikuti syarat yang diberikan.
Pihak MARA telah mewajibkan pensyarah terlibat mendapatkan sijil kelayakan mengajar dari CISCO Network Academy bagi mengajar program DCN. Pensyarah terlibat perlu menjalani siri latihan sebelum dianugerahkan sijil tenaga pengajar oleh CISCO Network Academy. Saya dan pensyarah terlibat telah menghadiri beberapa siri latihan CISCO Network Academy sepanjang berkhidmat di KPMIM.

Setelah berjaya mendapatkan sijil kelayakan tenaga pengajar, saya telah diamanahkan untuk mengajar pelajar program DCN. Pelbagai onak dan duri diharungi demi memastikan anak bangsa berjaya mendapatkan segulung Diploma in Computer Networking. Antara kursus program DCN yang pernah saya ajar:
- Security
- Voice & Data Cabling
- Introduction to Networking
- Business Information System
- Wireless Local Area Network
- Small to Medium Business Networking
Program DCN ini sentiasa disemak dan dimurnikan setiap beberapa tahun sekali bagi memastikan ianya layak mendapat akreditasi dari MQA dan relevan dengan kehendak pasaran. Alumni DCN terbukti berjaya menempatkan diri didalam alam pekerjaan dengan berbekalkan sijil kelulusan mereka.
Program Diploma in Computer Networking (DCN) telah mula ditawarkan pada tahun 2006 di KPMIM. Setelah lebih kurang 17 tahun program ini ditawarkan di KPMIM, akhirnya program ini perlu dijumudkan kerana tidak lagi dapat mematuhi syarat baru yang diperkenalkan oleh pihak MQA. Batch DCN terakhir akan menamatkan pengajian mereka pada tahun 2024.
Saya merasa bangga kerana pernah terlibat sebagai koordinator kursus, pensyarah kursus dan penggubal soalan tugasan serta peperiksaan akhir bagi program DCN. Saya berterima kasih pada pensyarah terlibat dan majikan yang memberikan kerjasama dan kepercayaan kepada saya sepanjang terlibat membangunkan program DCN ini. Pihak CISCO Network Academy juga telah menganugerahkan beberapa sijil penghargaan sepanjang saya berkhidmat menjadi tenaga pengajarnya.
Tamat sudah perjalanan saya bersama program DCN. Selamat tinggal CISCO Network Academy & DCN 🙂