Motivasi, Peristiwa

Penghijrahan Yang Dinanti DariNYA

Pada tanggal 18 Ogos 2023 yang lalu, nama saya ada terselit dalam senarai nama di notis pekeliling perpindahan staf. Sebaik sahaja melihat nama sendiri, pelbagai perasaan bertandang dalam diri. Maklumlah sudah berkhidmat di KPMIM selama 18 tahun. Bukan senang hendak melupakan memori manis, masam, pahit dan kelat disini.

Saya amat bersyukur dengan aturan Allah SWT ini. Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk saya. Perlu melapor diri pada 4 September 2023, tetapi saya belum bersedia kerana banyak kerja yang masih perlu dilangsaikan sebelum melakukan urusan serah tugas. Maka, saya memohon penangguhan melapor diri. Alhamdulillah, permohonan berjaya dan diberikan tarikh baru 18 September 2023 untuk melaporkan diri ke Kolej MARA Banting (KMB), Selangor. Itulah lokasi penghijrahan saya yang dinanti 🙂

Masa berbaki dari 19 Ogos 2023 hingga 16 September 2023 digunakan sebaik mungkin untuk mengemas rumah, mencari lori pindah, jual barang terpakai, mencari rumah sewa di Banting, menyiapkan kerja hakiki, menyantuni jemputan sahabat-sahabat untuk makan bersama sebelum saya berpindah sepenuhnya dari Kuantan ke Banting pada 16 September 2023. Terima kasih atas layanan premium dan hadiah tanda ingatan yang kalian berikan. Saya sangat menghargainya. Bertemu kita kerana Allah, berpisah kita kerana Allah.

Saya sudah lama memohon berpindah dengan alasan untuk menjaga ibu bapa. Tapi nampaknya tiada rezeki. Gigih saya berulang-alik ke kampung di Johor hampir setiap minggu demi berkhidmat pada ibu bapa. Dimana sahaja mereka pergi, saya akan muncul mengekori. Pada tahun 2017, mak saya meninggal dunia. Saya merasa semakin kuat untuk berada dekat dengan bapak yang ditinggalkan emak. Bapak memilih untuk tinggal bersama kakak di Kajang selepas ketiadaan mak. Kakak saya bukan suri rumah sepenuh masa. Saya cuba membantunya untuk bersama-sama menguruskan keperluan bapak. Saya jadikan KPI untuk balik Kajang sekurang-kurangnya sebulan sekali. Sekarang bapak pun dah semakin uzur. Saya pernah beberapa kali tertidur keletihan ketika sedang memandu kereta di lebuh raya untuk balik ke Kuantan. Syukur Allah melindungi saya. Saya sempat sedar semula sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.

Sejak tahun 2021, saya dapat merasakan tubuh badan sudah semakin tidak larat untuk berulang-alik Kuantan Kajang. Beban kerja pula semakin hari semakin bertambah. Hendak meminta cuti perlu berkira-kira dahulu kerana tugas hakiki yang banyak sentiasa menanti. Tanpa saya sedar ia telah memberikan tekanan kepada saya. Kesihatan saya sering terganggu. Hanya kenalan terdekat yang tahu perkara ini disebabkan saya sangat berahsia tentang hal kesihatan saya. Bermulalah episod muhasabah diri untuk menjawab persoalan,

“Apa yang aku nak dalam kehidupan ini?”

Setelah Allah SWT membimbing saya untuk mendapat jawapannya, saya tidak pernah lupa untuk menitip impian saya di dalam setiap doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT saban hari. Saya merayu dan meminta pada Allah dengan bersungguh-sungguh. DAN AKHIRNYA…Allah telah menunjukkan kebesaran & kasih sayangnya kepada saya. Semenjak dari itu, saya tidak lagi percaya pada makhluk. Pergantungan saya kini hanyalah kepada Allah SWT sahaja.

Majlis perpisahan di KPMIM telah diadakan pada 8 September 2023. Macam biasa, cuba nak menahan airmata tetapi tidak berjaya. Tempoh 18 tahun bukannya sekejap. Banyak kisah suka duka yang terjadi. Terpaksa meninggalkan sahabat baik dan suasana kerja yang telah biasa dijalani. Tetapi saya berfikiran positif bahawa penghijarahan ini pasti adalah aturan Allah yang terbaik untuk saya. Saya ikhlas untuk berkhidmat kepada bapak. Harapan saya dengan penghijrahan ini agar Allah SWT sentiasa mempermudahkan perjalanan hidup saya, merahmati saya dan melindungi saya daripada segala kejahatan & kezaliman makhluk. Allahumma Aamiin.

Terima kasih kerana sudi membaca cerita panjang saya ini.

Bergambar kenangan bersama staf KPMIM.

Tinggalkan komen