Saya telah berjaya menjalankan aktiviti treasure hunt yang dinamakan “FAJ Edurace” pada bulan Jun 2023 bagi 2 buah kelas. Perlaksanaan aktiviti ini telah diubah mengikut kesesuaian lokasi dan masa setiap kelas.
Saya menggunakan bantuan penjanaan QR code di pautan ini : https://www.classtools.net/QR. Saya hanya perlu menaip soalan (penting) & jawapan (tak penting) diwebsite tersebut. QR code akan dijana secara automatik. Saya hanya perlu cetak, gunting & lekatkan dengan double sided tape.
Sehari sebelum kelas bermula, saya gigih pergi menampal QR code yang mempunyai soalan berkaitan topik yang dipelajari pelajar di lokasi yang telah dikenalpasti. Pastinya kedudukan QR code itu didalam keadaan agak tersembunyi.
Pada hari kejadian, saya memberikan arahan agar pelajar maklum dengan peraturan aktiviti. Berikut adalah peraturan FAJ Edurace:
- Masa pemburuan QR code adalah 30 minit sahaja.
- Pelajar perlu buat kumpulan (2 – 4 orang satu kumpulan mengikut kesesuaian).
- QR code hanya ditampal pada bahagian depan, belakang, atas, bawah & tepi objek yang ada dilokasi yg ditetapkan sahaja.
- Pelajar tidak boleh membuat bising ketika memburu & dilarang mengganggu kelas lain.
- Sebaik sahaja terjumpa QR code, tanggalkannya & ambil gambar selfie semua ahli kumpulan bersama QR code itu. (Gunakan Whatsapp untuk tujuan ini. Minta pelajar masukkan pensyarah dalam group).
- Pelajar perlu mengimbas QR code yang dijumpai untuk melihat soalan & menjawabnya dengan segera. Hantar jawapan dalam group Whatsapp.
- Kumpulan yang berjaya mendapatkan QR code dan menjawab soalan dengan betul terbanyak dikira sebagai pemenang.
Selepas pelajar faham dengan peraturan, bolehlah lepaskan mereka untuk memburu QR code yang tersembunyi. Saya duduk didalam kelas menunggu masa tamat sambil memantau pergerakan mereka di group Whatsapp kelas.
Setelah aktiviti tamat, saya memeriksa jawapan & mengira jumlah jawapan betul yang terbanyak bagi setiap kumpulan. Ada juga kumpulan yang langsung tak jumpa QR code. Tak dapek den nolong dohhhh….
Saya mengumumkan pemenang dan memberi hadiah sebagai tanda menghargai usaha dan penat lelah mereka. Pelajar memberikan respon yang positif selepas menyertai aktiviti FAJ Edurace ini. Antaranya memupuk semangat berkumpulan, melatih kemahiran mengurus strategi, melegakan sebentar tekanan belajar, dapat bersenam keluarkan peluh, dapat bermain sambil belajar dan seronok dapat hadiah.
