Homeroom ( juga dikenali sebagai mentor mentee dan academic advisor) berfungsi sebagai “keluarga kedua” selepas di rumah pelajar. Terdiri daripada seorang cikgu (mentor) dan beberapa orang pelajar (mentee). Cikgu yang ditugaskan menjaga kumpulan homeroom akan bertanggungjawab menjadi penasihat kepada pelajar, mengurus prestasi akademik pelajar dan perkara lain berkaitan dengan akademik dan sahsiah pelajar.
Perjumpaan cikgu bersama ahli homeroom biasanya ditetapkan oleh unit homeroom atau sekiranya perlu.
Sepanjang berkhidmat di KPMIM, saya diberi rezeki mengurus lebih dari 100 orang pelajar. Mereka datang dan pergi. Tetapi ukhuwah kami masih berterusan. Homeroom dapat memupuk kerjasama berkumpulan. Contohnya, setiap kali ada pertandingan anjuran unit homeroom, mentee akan bekerjasama mencapai objektif pertandingan. Jika ada rezeki dapatlah memenangi pertandingan. Homeroom saya pernah beberapa kali memenangi pertandingan. Bila bulan Ramadhan pula, biasanya saya akan mengadakan majlis iftar, saya beri kebebasan pada mentee untuk menguruskannya. Saya cuma jadi penaja je. Hehe.
Dari segi prestasi akademik pula, mentor akan memantau prestasi setiap menteenya. Jika ada mentee yang lemah dalam akademik, mentor akan memberikan nasihat agar mentee tidak merasa putus asa dan terus bermotivasi untuk meningkatkan prestasi akademik mereka. Saya ada motto yang dicipta untuk kumpulan homeroom saya ni, iaitu JANGAN REPEAT PAPER!
Nampaknya motto yang selalu saya cakap berulang kali pada setiap perjumpaan homeroom berkesan 95%. Yang terpaksa repeat paper pun akan lulus setelah mengulang. Tidak pernah repeat melebihi sekali. Selepas itu pasti mereka serik kerana sedar ia akan menjadikan waktu pengajian bertambah semester. Saya selalu mengingatkan mentee kesan akibat dari repeat paper. Nampaknya ia berhasil untuk memotivasikan majoriti mentee agar berusaha untuk lulus semua subjek yang diambil.
Jika ada pelajar yang mempunyai masalah selain akademik, saya akan cuba membantu sebaik mungkin agar ia tidak mengganggu prestasi akademik pelajar.
Saya tumpang gembira apabila mendengar khabar mentee saya berjaya menyambung pelajaran keluar negeri, dalam negeri, sudah bekerjaya dan mencapai kejayaan yang mereka impikan selama ini. Harapan saya agar mereka sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.
Saya bukanlah seorang mentor yang hebat. Semoga mentee saya memaafkan kesilapan dan kekurangan saya sepanjang menjadi mentor mereka. Ketahuilah olehmu wahai mentee-menteeku, doa kesejahteraan buat kalian sentiasa dititipkan ketika meminta kepadaNYA. Semoga kalian juga berbuat begitu pada bekas mentormu yang semakin beranjak usia ini. Klik sini untuk melihat aktiviti saya bersama mentee. Banyak gambar mentee hilang dalam simpanan.
