
Menjadi tenaga pengajar pada zaman kini merupakan satu cabaran yang tidak kurang hebatnya. Perlukan kebolehan mengawal emosi terhadap ragam pelajar dan beban kerja. Ada kalanya kesabaran saya teruji apabila ada pelajar lemah akademik yang sudah diberikan rujukan yang banyak, latih tubi, tunjuk ajar yang berulangkali daripada saya dan rakan sebayanya, namun pelajar lemah ini masih melakukan kesalahan yang sama. Rasa sia-sia sahaja tenaga bila jadi begini. Itulah antara perkara yang perlu dihadapi apabila berdepan dengan generasi Z ini. Saya selalu bermuhasabah diri untuk mencari jalan penyelesaian. Adakah pelajar lemah tersebut memang seorang yang malas berusaha atau saya yang guna salah teknik mengajar? Tetapi selepas membaca kartun di atas, saya rasa seperti diperli hebat kerana selama ini saya amat mengharapkan pelajar faham dan boleh mendapatkan keputusan cemerlang. Semenjak daripada itu, saya teruskan usaha memberikan yang terbaik dalam kelas bagi aktiviti PdP dan mendoakan pelajar yang lemah akademik dari kejauhan supaya hidupnya sentiasa dirahmati Allah. Mungkin sekarang pelajar itu lemah akademik, tapi tidak bermaksud masa depannya akan gelap. Kita tak akan pernah tahu rahsia rezeki, jodoh dan ajal yang ditetapkan Allah. Biar Allah yang menentukannya. Kita? Lakukan yang terbaik dengan ikhlas sebagai khalifah Allah selagi hidup masih bersisa!